LATAR BELAKANG


Sukan memanah di Daerah Lawas, Bahagian Limbang, Sarawak telah bermula sejak 14 tahun yang lalu. Sehingga kini, Daerah Lawas dianggap sebagai pelopor sukan memanah di negeri Sarawak.


Sukan memanah telah dipopularkan di peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah di daerah Lawas oleh Lawas Shooting and Archery Association(LSAA). Menerusi penyeliaan dan bimbingan LSAA, beberapa buah sekolah menengah dan sekolah rendah di daerah Lawas telah menubuhkan kelab sukan memanah di sekolah masing-masing. Antaranya, SMK Lawas, SMK Trusan, SRK Long Tuma dan SRB Chung Hwa Lawas.


Di samping itu, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh Majlis Sukan Negeri(MSN) Sarawak khususnya kepada SMK Lawas dengan menjadikannya sebagai Pusat Cemerlang Memanah telah melahirkan bakat-bakat yang dapat diketengahkan sehingga ke peringkat negeri dan kebangsaan. Bintang-bintang memanah kebangsaan seperti Mary Labo dan Nee Kuok Hing adalah kelahiran dari SMK Lawas. Malah bintang-bintang muda yang kini mewakili negeri Sarawak seperti Chong Tze Ai, Nee Kuok Jing, Teng Ming Yek, Liaw Peng Yau dan Nee Kuok Seng juga adalah anak didik SMK Lawas. Kejayaan bintang-bintang ini adalah hasil bimbingan, kerjasama dan sokongan pihak sekolah, LSAA, MSN dan ibu bapa sendiri.


Kelab Memanah SMK Lawas telah ditubuhkan pada tahun 1992. Kini kelab ini mempunyai ahli seramai 42 orang pelajar dan dikendalikan oleh empat orang guru, yang bertindak selaku jurulatih dan guru penasihat untuk kelab ini. Sehingga kini kelab ini telah berjaya menganjurkan 4 kali Kejohanan Memanah Peringkat Bahagian Limbang.



[LAMAN UTAMA]